Pengertian Aurat
Aurat diambil dari perkataan Arab ‘Aurah’ yang bererti
keaiban. Manakala dalam istilah fekah pula aurat diertikan sebagai bahagian
tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.
Di dalam Islam terdapat beberapa keadaan di mana
masyarakat Islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang
tertentu.
PERINTAH MENUTUP AURAT
Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh Allah S.W.T
dalam Surah Al-Ahzab ayat 33;
“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta
janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang
jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembayang serta berikanlah zakat; dan
taatilah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu
dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang
mencemarkan diri kamu-wahai “ahlul bait”, dan hendak membersihkan kamu
sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”
Dari penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa
hukum menutup aurat adalah wajib sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan
sembahyang, berzakat dan perintah-perintah yang lainnya.
Dengan menutup aurat, wanita Islam mudah dikenal dan
dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan.
Wanita yang menutup aurat akan mudah dikenali. Jika
sekiranya mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara
tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk mengganggunya. Maka
berlakulah perkara-perkara sumbang, dengan itu juga akan timbulah
berbagai-bagai fitnah dari masyarakat tentang diri mereka.
Dalam hal ini Allah S.W.T. telah berfirman dalam Surah
Al-Ahzab ayat 59:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak
perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya
bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih
sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu
mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani. ”
Islam telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan
wanita. Aurat asas pada lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut. Manakala
aurat wanita pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama
sesiapa pun adalah sama iaitu antara pusat dan lutut.
Tetapi bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa
keadaan antaranya:
1. Aurat Ketika Sembahyang
- Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
2. Aurat Ketika Sendirian
- Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat adalah antara pusat dan lutut.
3. Aurat Ketika Bersama Mahram
- Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya
adalah pusat dan lutut. Walau pun bagitu wanita dituntut agar menutup mana-mana
bahagian tubuh badan yang boleh menaikan syahwat lelaki walaupun mahram
sendiri.
- Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tata susila wanita terutama dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang dan tidak diingini tidak akan berlaku.
Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan
digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan
labuh.
Syarak telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai
mahram kepada seseorang wanita iaitu:
- Suami
- Ayah, termasuk datuk belah ibu dan bapa.
- Ayah mertua
- Anak-anak lelaki termasuk cucu samada dari anak lelaki atau perempuan
- Anak-anak suami. Dalam perkara ini Islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak suaminya.
- Saudara lelaki kandung atau seibu atau sebapa.
- Anak saudara lelaki kerana mereka ini tidak boleh dinikahi selama-lamanya.
- Anak saudara dari saudara perempuan.
- Sesama wanita samada ada kaitan keturunan atau yang seagama.
- Hambanya Sahaya.
- Pelayan yang tidak ada nafsu syahwat.
- Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita.
Walau pun begitu, bagi kanak-kanak yang mempunyai syahwat
tetapi belum baligh, wanita dilarang menampakkan aurat terhadap mereka.
Al-Quraan dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah
An-Nur ayat 31;
Dan katakanlah kepada perempuan -perempuan yang beriman
supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan mereka; dan ;janganlah mereka memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau
anak-anak mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang
gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada
perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan;
dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah,
wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. ”
Imam Syafie berpendapat; perhiasan yang dimaksudkan yang
dimaksudkan dalam ayat di atas terbahagi kepada dua makna iaitu:
- Perhiasan yang bersifat semula jadi seperti muka, pipi mulut, mata, bibir, hidung, kaki, betis, peha dan lain-lain anggota.
- Perhiasan seperti pakaian, alat-alat solek, cincin, rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.
Oleh itu, umat Islam digalakkan mengawal diri agar tidak
melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh Islam terutamanya dalam
soal perhiasan dan berpakaian.
4. Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram
Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram
adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak
daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya.
Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari
penglihatan terhadap wanita memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan
sebahagian tubuh badan mereka.
Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan
ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka
aurat akan ditanggung oleh suami. Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami
batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam
keadaan yang berbeza-beza.
5. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir
Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan
wanita bukan Islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak
tangan.
Rasulullah SAW. bersabda dalam sebuah hadis yang
bermaksud: Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah SAW. pernah bersabda
yang maksudnya:
“Tidak halal kaum wanita Islam itu dilihat oleh kaum
Yahudi dan Nasrani”.
6. Aurat ketika Bersama Suami
Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di
tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka Islam telah memberi
kelongaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya.
Ini bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat
terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannnya bila
berhadapan dengan suaminya.
Mu’awiyah bin Haidah mengatakan: “Aku pernah bertanya: Ya
Rasulullah, bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?”
Baginda menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau terhadap
hamba abdi milikmu”. Aku bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau
ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat?” Baginda menjawab:
“Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak boleh melihat aurat orang lain
dan ia pun tidak boleh melihat auratmu”. Aku masih bertanya lagi: “Ya
Rasullullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?” Baginda menjawab:
“Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain”.
(Hadis riwayat Iman Ahmad dan Abu Dawud)
Di Kongsikan dari Blog http://jejakterlindung.blogspot.com